SMK SS17 dipilih sebagai Projek Rintis Kelas Hibrid.

Bagi memperkasa pendidikan digital negara, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengumumkan projek rintis membabitkan 550 kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara pada 20 Ogos 2022 sempena Majlis Transformasi Pendidikan di SMK Putrajaya Presint 18(1). SMK SS17, Subang Jaya merupakan salah sebuah sekolah yang terpilih menjadi rintis projek tersebut. 5 bilik darjah dipilih dari setiap blok sekolah telah dipasang Skrin pintar Imago, dua buah televisyen pintar Samsung, CCTV dan microfon. Hari ini saya bersama penyelaras ICT dan pegawai-pengawai dari PPD Petaling Perdana telah cuba menggunakan skrin pintar Imago di salah sebuah kelas. Rakaian Internet masih belum siap dipasang di kawasan sekolah tetapi dijangka siap dalam cuti sekolah dan lima buah bilik darjah ini dijangka boleh digunakan pada sesi 2023/2024.

Guru-guru yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di 5 buah bilik darjah ini tidak lagi perlu membawa projektor, komputer riba, peranti screen cast atau apa-apa peranti masuk ke kelas. Skrin pintar Imago ini menyokong pelantar "Windows" dan "Mac OS". Saya telah cuba menggunakan iPad untuk buat "screen mirroring" ke skrin pintar Imago tersebut secara "wireless". Saya tidak perlu lagi menggunakan "apple TV" sebagai perantara untuk membuat screen mirroring ke projektor semasa mengajar.

Dengan adanya skrin pintar ini, murid didedahkan dengan PdP yang lebih kreatif dan inovatif dengan kerjasama guru di seluruh negara. Murid juga boleh terus menconteng atau menjalankan aktiviti dengan menggunakan skrin pintar ini. Langkah ini akan memberi peluang kepada sekolah untuk terus meraih manfaat daripada kurikulum yang disokong teknologi serta mempersiapsiagakan pelajar bagi menceburi kerjaya berpaksikan digital. Projek ini juga diharap akan meningkatkan pengetahuan murid dan kreativiti serta inovasi guru melalui perkongsian pintar PdP antara sekolah, sekali gus merapatkan jurang pendidikan dan digital.

Previous Post Next Post